JAHITAN WANITA INDIA MUSLIM 1 MALAYSIA 2017

logo

Program Jahitan Wanita India Muslim 1 Malaysia telah dianjurkan oleh YAKIN dan program ini ditaja oleh Unit Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India (SEDIC), Jabatan Perdana Menteri. Program jahitan yang dijalankan adalah secara percuma.

Objektif Program

1. Melatih wanita India Muslim yang kurang berkemampuan dalam kategori B40 (golongan berpendapatan 40% terendah) dan ibu-ibu tunggal untuk mempelopori ilmu jahitan bagi menjana pendapatan dari rumah dan sebagainya.

2. Menggalakkan wanita India Muslim terutama ibu-ibu tunggal berdikari dari segi sosio-ekonomi dengan mempunyai satu kerjaya sebagai tukang jahit.

3. Memberikan wanita India Muslim satu kerjaya yang boleh menyumbang kepada pembangunan ekonomi, keluarga dan Negara.

Program jahitan ini telah diadakan di 9 buah negeri iaitu :
1. Johor
2. Negeri Sembilan
3. W.P. Kuala Lumpur
4. Selangor
5. Perak
6. Pulau Pinang
7. Kedah
8. Terengganu
9. Pahang

Program Jahitan Wanita India Muslim 1 Malaysia telah berjaya disempurnakan dengan baik dan berjaya. Peserta program jahitan ini telah menjalani kursus bermula dari Disember 2016 dan berakhir pada September 2017. Seramai 502 orang peserta telah menyertai program ini dan lulus di dalam peperiksaan.

Peserta Program Jahitan Wanita India Muslim 1 Malaysia adalah wanita-wanita daripada keluarga golongan B40 di mana lebih daripada tujuh puluh peratus (70%) adalah suri rumah tangga. Selepas mereka berjaya menamatkan kelas jahitan, mereka kini bergelar tukang jahit di mana mereka boleh menjana pendapatan untuk membantu keluarga atau suami pada bila-bila masa yang diperlukan.

Hampir kesemua peserta kini telah mampu menjahit pakaian sama ada untuk kegunaan diri sendiri mahupun untuk menerima tempahan daripada orang lain. Bagi graduan yang mempunyai mesin jahit di rumah, mereka telah mengambil upah menjahit secara sambilan di rumah. Mereka telah mampu meraih pendapatan untuk menampung perbelanjaan harian dan pendidikan anak-anak mereka. Secara tidak langsung mereka meraih pendapatan dan pada masa yang sama masih boleh menjalankan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu di rumah.

Kemahiran menjahit bukan hanya tertumpu pada pakaian wanita seperti jubah dan baju kurung malah sebaliknya graduan yang telah menjalani Program Jahitan India Muslim 1 Malaysia ini juga boleh menerima tempahan menjahit langsir.

Di samping itu, Program Jahitan Wanita India Muslim 1 Malaysia ini telah memberikan impak positif kepada peserta terutamanya peserta yang menjadi suri rumah tangga. Apabila mereka terlibat secara aktif di dalam kelas jahitan, mereka berjaya meningkatkan perhubungan sosial dengan peserta yang lain. Selain itu, mereka juga berjaya meningkatkan tahap keyakinan diri apabila menyertai aktiviti yang melibatkan kemahiran diri.

Impak yang paling ketara adalah apabila ramai golongan India Muslim kini telah keluar dari zon selesa mereka dan mencuba untuk berdikari dan bersaing dengan kaum lain dalam mendapat tempat dan kepercayaan serta kebolehan mengambil tempahan jahitan daripada mereka yang memerlukan khidmat jahitan.

Selain daripada itu, pihak YAKIN akan membuka 2 buah butik jahitan, yang pertama di Negeri Pulau Pinang dan seterusnya Negeri Selangor bermula tahun 2018. Butik Jahitan YAKIN akan mengambil peserta-peserta yang telah lulus sebagai tukang jahit. Tukang jahit akan menerima upah untuk setiap pasang jahitan pakaian.

Alhamdulillah, hasrat YAKIN untuk melahirkan tukang jahit yang mahir daripada kalangan wanita yang kurang berkemampuan telah berjaya dicapai.

IMG-20161210-WA0004WhatsApp Image 2017-04-04 at 09.56.15(1)

WhatsApp Image 2017-04-04 at 09.56.10unnamed38

Print Friendly, PDF & Email